Tuesday, July 14, 2009

Non-Muslim

Assalamualaikum, dipetik dari berita harian 14/7/09, ruangan agama. Ingin saya kongsikan perbezaan persepsi orang Muslim di Malaysia dengan orang Muslim di tempat lain tentang orang yang non-Muslim. Lagi satu saya minta diri saya dan saudara saudari untuk berhati-hati apabila mengunakan perkataan 'kafir' apabila merujuk orang bukan Muslim. Perkataan kafir hanya boleh digunakan dengan merujuk kepada non-Muslim yang menolak Islam setelah mengetahui dan mempelajari Islam yang sebenar. Orang non-Muslim di Malaysia kebanyakkannya tidak tahu tentang Islam kerana kelemahan dan kegagalan kita dalam da'wah. Oleh yang demikian saya minta jangan gunakan perkataan ini sesuka hati.

Oleh: Hasliza Hassan
Elak fahaman silap atau penderaan agama demi untuk memperbaiki budaya

APABILA berlaku kecaman terhadap Islam atau salah faham mengenai ajarannya, kita selalu meminta supaya bukan Islam atau pihak yang berpandangan negatif untuk cuba memahami serta mendapatkan maklumat yang betul mengenai Islam.

Namun, adakah kita pernah cuba memahami atau belajar daripada mereka dalam usaha menjalinkan hubungan dengan bukan Islam sebagai cara mengelak berlakunya salah faham atau persepsi negatif terhadap Islam dan umatnya.

Tepuk dada tanya diri, kerana hakikat itu tidak boleh dinafikan kata Imam Persatuan Masyarakat Islam di Greater Oklahoma City, Suhaib Webb pada ceramahnya berjudul` Kita Semua Adalah Anak Adam' anjuran Muslim Professionals Forum di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Beliau yang kini melanjutkan pengajian dalam bidang syariah di Universiti al-Azhar Mesir berkata, adalah bahaya kerana sekarang ia persepsi mengenai Islam boleh dibuat daripada maklumat diperoleh melalui internet.

Justeru katanya, salah satu cara untuk mengubah persepsi serta menjelaskan mengenai Islam ialah melalui gerakan antara agama bukan saja mengajak bukan Islam mengenali Islam, orang Islam juga menjalinkan hubungan baik dengan bukan Islam.

Pada masa sama, umat Islam bukan saja perlu menunjukkan Islam sebenar melalui cara hidup mereka malah, mendalami Islam kerana banyak tanggapan serong dilemparkan terhadap Islam dan penganutnya disebabkan sikap mereka sendiri.
"Seorang rakan saya yang bukan Islam berjaya membaca terjemahan al-Quran dalam bahasa Inggeris selama dua minggu. Kemudian dia tanya mana al-Quran yang kedua dan saya tanya kembali kenapa dia bertanyakan al-Quran yang kedua pula.

"Katanya, Muhammad yang disebut dalam al-Quran tidak sama dengan Muslim di luar sana. Dan jangan terkejut juga apabila anda berjumpa dengan bukan Islam yang bukan saja kenal ilmuwan Islam malah tahu karya dihasilkan cendekiawan itu," katanya.

Beliau juga menyelar sikap umat Islam yang dengan mudah suka mengkafirkan atau mengatakan orang lain kafir kerana tiada siapa boleh melabelkan seseorang itu kafir melainkan hakim dengan sebab serta alasan tertentu.

Katanya, dalam al-Quran juga hanya dua kali menyebut 'wahai orang kafir' yang dikaitkan dengan aspek kepercayaan tetapi dalam banyak perkara, Allah menyebut 'wahai orang beriman, wahai manusia atau wahai ahli kitab'.
Berkongsi kisah hidup bersama ibu yang tidak memeluk Islam, Suhaib berkata, adakalanya fahaman bukan Islam mengenai Islam serta ajarannya lebih baik berbanding umat Islam sendiri. Oleh itu, katanya, tidak boleh sewenang-wenangnya menuduh seseorang itu kafir.

"Jangan jadikan perkataan kafir satu perkataan yang biasa. Saya orang Islam, awak orang kafir. Mereka adalah orang yang tinggal dengan kita dan orang yang berada di sekeliling kita. Emak saya selalu membangunkan untuk solat Subuh dan emak saya tidak memeluk Islam.

"Malah, kalau saya balik lambat dan sudah masuk waktu solat Maghrib, dia yang akan marah. Emak saya bukan Islam tetapi menderma kepada orang Islam. Saya boleh katakan emak saya lebih Islam daripada orang Islam," katanya.

Beliau menyarankan umat Islam berpegang kepada firman Allah yang menyeru manusia berkenal-kenalan supaya mereka boleh memahami serta mempelajari antara satu sama lain kerana cara itu lebih baik.

Suhaib juga mengingatkan umat Islam menjaga hubungan persaudaraan bukan saja sesama umat Islam, juga dengan bukan Islam kerana tanpa semangat bersatu padu itu, umat Islam tidak akan stabil dan iman menjadi lemah.

Beliau mengaitkan apa yang disarankan ajaran Islam supaya umatnya berbuat baik dan itu tidak dihadkan kepada orang Islam saja kerana Allah tidak menghalang umat Islam berbuat baik kepada bukan Islam.

"Nabi Ibrahim bagi salam kepada bapa baginda yang tidak beriman tetapi kita hari ini sibuk memikirkan boleh atau tidak memberi salam kepada bukan Islam. Pemahaman salah terhadap agama Islam itu menyebabkan apa yang kita katakan 'membuli teologi'.

"Remaja di Kuala Lumpur tidak akan mencari saya jika mereka melakukan kesalahan tetapi jika mereka ada masalah, mereka cari orang lain atau rakan sebaya supaya tidak ada rasa takut. Ia kerana mereka takut untuk berjumpa imam disebabkan penderaan terhadap agama itulah," katanya.

Katanya, membuli agama ialah menjadikan orang lain takut kepada ajaran Islam disebabkan sikap tegas tidak bertempat hingga tercipta masalah melampau terhadap agama bukan memperbetulkan salah anggap kepada agama.

Suhaib berkata, 40 peratus rakyat Amerika Syarikat mengatakan mereka takutkan orang Islam dan dapat difahami wujudnya kumpulan itu kerana mereka tidak mengenali Islam serta umatnya atau mengenali Islam daripada pandangan mata kasar saja.

"Apa orang bukan Islam kata mengenai sindrom jihad mendadak (pengebom berani mati) ialah jika semua umat Islam terkena penyakit itu, semua orang bukan Islam akan mati. Bayangkan juga jika mereka terbaca ayat bahawa orang Islam akan lawan hingga orang itu mengucap syahadah.

"Oleh itu, kena faham akidah bukan siapa saya dan siapa yang saya tidak. Kita sibuk fikir sama ada Allah ada tangan atau Allah ketawa tak, tetapi gagal untuk menjadi Muslim sebenarnya. Di Miami, setiap Jumaat orang Islam beri makanan kepada mereka yang tidak berumah termasuk bukan Islam.

"Elakkan fahaman salah atau penderaan terhadap agama Islam kerana Islam tidak datang untuk memusnahkan budaya tetapi memperbaikinya menjadi lebih baik. Jadi, lakukan penilaian semula kerana Nabi Muhammad kata, jangan biarkan mereka jauh, tarik mereka," katanya.

2 comments:

  1. assalamu'alaiikum....saya setuju dengan pernyataan ini.Islam adalah agama Universal. Sebagai seorang saudara baru , saya akui kerana inilah org bukan Muslim memandang serong agama suci Allah ini.Sebenarmya mereka di takut2 kan dan di beza2 kan kalau sampai bab agama."Persatuan Bangsa Malaysia" sukar di capai tak kira apa slogan di gunakan. Sekiranya perkataan ini sering dan acapkali di gunakan.

    ReplyDelete
  2. Waalaikumsalam,

    I am also saudara baru... Hahaha, I always say that even though some of my friends does not agree.

    I am still a muallaf (still learning).
    Thanks for reading.

    ReplyDelete