Friday, July 11, 2014

Adakah Quran Saintifik? Jawapannya ialah TIDAK!

Assalamualaikum,

Dalam post kali ini, saya ingin menyentuh berkenaan Quran, sains dan istilah saintifik yang banyak digunakan oleh ramai penulis buku untuk menggambarkan Quran.

Saban hari buku-buku yang mengaitkan sains dan Quran semakin banyak di pasaran. Contohnya seperti berikut:





Penggunaan istilah saintifik memberikan maksud yang mendalam kepada mereka yang memahami ilmu sains. Ilmu daripada sesuatu yang saintifik memerlukan kajian saintifik dilakukan: perlunya ada hipotesis, ujian dengan kaedah saintifik, mengumpul data dan kemudiannya membentuk teori-teori sains. Saya pasti ini semuanya tidak ada di dalam Quran.

Jika tiada mengapa kita memanggil Quran sebagai saintifik? Quran bukanlah buku 'SCIENCE' (sains) tetapi Quran merupakan buku 'SIGNS' (hidayah) bagi manusia.

Perkara ini menjadi lebih buruk apabila ada juga penulis yang menggunakan istilah 'Keajaiban Saintifik' dalam Quran. Istilah 'Keajaiban Saintifik' sememangnya tidak logik, seolah-olah kita mengatakan adanya segi tiga yang berbucu empat (oxymoron). Seperti mana yang saya sebut sebelum ini, saitifik memerlukan kaedah saitifik dan ujikaji sebelum mencapai satu teori sains. Bagaimana sesuatu yang didapati dengan kaedah saintifik itu keajaiban?

Keajaiban itu contohnya sebagaimana Nabi Isa AS menyembuhkan orang yang sakit kusta atau mencelikkan mata orang yang buta. Jika Nabi Isa AS guna pembedahan untuk mencelikkan mata orang buta atau sembuhkan kusta dengan ubat-ubatan, maka itu sudah bukan keajaiban dan hanyalah saintifik semata-mata.

Sebagai muslim yang berada dalam bidang sains, kita haruslah sedar bahawa terdapat jurang yang besar antara agama (terutamanya Kristian) di barat. Semuanya bermula apabila Galileo Galilei membentangkan bahawa bumi mengelilingi matahari dan bukan sebaliknya. Gereja pada ketika itu, percaya bahawa bumi adalah pusat segalanya (matahari mengelilingi bumi) sebagaimana yang ditulis dalam Bible. Rentetan masalah ini, dunia sains di barat mula untuk memutuskan dan mengasingkan agama dalam  sains.

Permasalahan ini yang disebabkan oleh orang Kristian menyebabkan terpisahnya sains dan agama di Barat. Setelah kejatuhan tamadun orang Islam, sains mula dipelopori oleh mereka di Barat. Kita pula mempelajari sains mengikut acuan mereka iaitu sains terpisah dan tidak serasi dengan agama. Ini sebenarnya tidak benar, ulamak-ulamak dan saintis silam kita seperti Ibn Sina telah membuktikan sebaliknya. Agama Islam tidak sesekali bertentangan malah menggalakkan perkembangan sains.

Walaupun begitu, pada hari ini terdapat trend yang baru yang membimbangkan penulis. Mungkin ini semua bermula setelah Dr. Maurice Bucaille (seorang doktor) yang memeluk Islam menulis bukunya The Bible, the Quran and Science. Penulis mendapat ada ahli agamawan dan bukan agamawan yang mentafsir Quran menggunakan Sains. Perkara ini bukan kaedah yang telah ditentukan oleh ahli ulamak silam kita.

Pada pendapat penulis ini adalah sangat berbahaya dan mempu merosakkan agama. Sebagai contohnya Quran 51:47 yang merujuk kepada Allah yang Maha Besar yang meluaskan/mengembangkan alam semesta ini (universe expending) seringkali dijelaskan dengan Big Bang Theory. Ini adalah satu kesilapan yang sangat besar. Jika pada suatu hari nanti, jika Big Bang Theory dibuktikan salah, adakah ayat Quran ini juga salah?

Kaedah mentafsir Quran menggunakan sains haruslah dihentikan. Teori-teori sains sentiasa berubah-ubah mengikut masa manakala Quran pula adalah sentiasa kekal dan dilindungi Allah sehinggalah Kiamat kelak.



Penulis tidaklah berkata bahawa Quran bukan satu Miracle tetapi yang dimaksudkan ialah Quran tidak Saintifik. Kita tidak jumpa kaedah saintifik di dalam Quran. Penulis juga tidak menafikan bahawa ayat-ayat di dalam Quran begitu hebat dan tidak ada antaranya yang bertentangan dengan teori-teori sains hari ini. Penulis juga tidak menafikan pernah menggunakan istilah Quran saintifik atau keajaiban saintifik dalam Quran secara tidak sengaja di dalam blog ini.